Thursday, September 11, 2008

Orang Timur Orang Barat Siapa Kuat Dia Dapat

Orang Timur Orang Barat Siapa Kuat Dia Dapat

1790an: Syarikat Hindia Timur British (SHTB) ialah GLC (government linked company) yang mendapat ‘Charter’ kerajaan British untuk memonopoli perdagangan di Asia Timur, diberi kuasa politik untuk mentadbir daerah jajahan dan boleh mentadbir tenteranya sendiri dengan sokongan tentera diraja British. (Bagaimanapun bermula dari 1793 keistimewaan yang diberikan melalui ‘Charter’ ini perlu disemak semula setiap 20 tahun.) SHTB berjaya berkembang di India dengan kekuatan tenteranya dan memberi sumbangan besar kepada ekonomi Britain yang sedang dalam proses Revolosi Industri sejak 1730an. Di Asia Belanda memonopoli perdagangan rempah, Sepanyol berminat dengan emas dan Perancis berminat dengan kapas. Belanda menguasai kepulauan Indonesia, Sepanyol di Filipina dan Perancis cuba memperluaskan pengaruhnya di India. Portugis sudah lebih satu abad kehilangan kuasanya di Melaka setelah tewas kepada angkatan laut Belanda yang dibantu tentera darat kesultanan Melayu. Negeri China sedang sedang melaksanakan kempen perang meluaskan wilayahnya ke Burma, Tibet, Nepal dan Turkestan (Xinjiang). Di Indonesia pejuang-pejuang tempatan sedang memerangi penjajahan Belanda. Di Semenanjung Tanah Melayu, kesultanan Kedah menghadapi konflik perebutan kuasa dan peperangan dengan Siam.

Senario politik dan perdagangan mula berubah bila British berjaya menguatkan kedudukannya di India setelah mengalahkan tentera Perancis selanjutnya cuba mengusirnya dari Asia. Rakyat Perancis telah menggulingkan kerajaan monarky dan Perancis dilihat menjadi lebih militan. British mula melantik Gabenor Jeneral di India (Warren Hasting) yang melaksanakan dasar luarnya di Asia. British sedar angkatan lautnya paling kuat di dunia dan perlu menguasai lokasi strategik terutama pulau-pulau untuk markas tenteranya sepanjang laluan dagang antara China dan Eropah. Keadaan menjadi lebih stabil setelah tentera Burma berjaya diusir dari Siam dengan bantuan British. Burma juga mendapat tekanan serangan dari kerajaan Qing China yang cuba menakluknya dari Tibet. Setelah berjaya menguasai India, SHTB berjaya meluaskan perladangan kapas dunia dan memodenkan industri tekstil. Britain sedang mengetuai Revolusi Industri dunia pada tahun 1780 dengan mencipta mesin-mesin industri perkilangan, melakukan reformasi sosial tenaga buruh dan reformasi sistem perniagaan yang lebih moden. Pusat mengekspot kapas dan tekstil SHTB di India terletak di Kolkot (Culcutta). SHTB berhasrat menjadikan China rakan dagang utamanya kerana melihat potensi pasarannya yang besar. SHTB berminat mendapatkan teh, sutera dan tembikar dari China. Barangan ini terutama teh China pada waktu itu sedang mendapat permintaan yang tinggi di Eropah dan Amerika. Kerajaan China yang berpusat jauh di utara (Beijing)hanya membuka pelabuhan Canton dan Fukien di wilayah tengah kepada pedagang luar kerana bimbang pengaruh luar ke atas rakyatnya yang boleh mendatangkan pemberontakan. China mewartakan dasar tidak membenarkan rakyatnya keluar dari negeri China. Justru itu teknologi perkapalan China tidak berkembang seperti semasa dinasti Ming untuk merentasi lautan dunia.

Menjelang akhir abad ke-18 melihatkan nilai dagang negeri China sangat tinggi berbanding nilai impot barangan dari Eropah. Negeri China kurang berminat lagi dengan barangan tekstil SHTB dan SHTB diperlukan membayar dengan wang perak untuk mendapatkan barangan China. Misi kerajaan Britain ke China untuk menghapuskan halangan perdagangan juga telah gagal. Perdagangan SHTB yang berasaskan kapas dan tekstil terus merosot dan sukar mendapat pasaran besar lain bagi memperoleh wang perak yang diperlukan untuk mengimbangi perdagangan dengan kerajaan China. Masalah ini amat besar sehinggakan Gabenor Jeneral British di India berpendapat SHTB boleh menjual candu ke China hingga mendapat imbangan perdagangan kembali tanpa mempedulikan tujuan penggunaan candu tersebut. Perdagangan menjadi semakin tidak beretika demi mempertahankan kepentingan Britain dan pelaburan rakyatnya dalam SHTB. Maka apakah yang SHTB perlu lakukan segera?

No comments: